Jumlah kerugian akibat kemalangan jalan raya mengejutkan

Lebih RM25 bilion kerugian ditanggung negara tahun lalu yang mewakili 1.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akibat kemalangan jalan raya.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, jumlah tersebut meningkat berbanding anggaran kerugian pada tahun terdahulu.

“Berdasarkan statistik kematian dan kecederaan parah dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laporan perangkaan kemalangan jalan raya dan Program Penilaian Jalan Raya Antarabangsa (iRAP), negara dianggarkan mengalami jumlah kerugian hampir RM18 bilion pada 2010 iaitu 2.2 peratus daripada KDNK.

“Ia meningkat kepada lebih RM25 billion pada 2023,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau menjawab Pang Hok Liong (PH-Labis) yang meminta penjelasan jumlah kerugian ditanggung akibat kemalangan jalan raya setiap tahun dan langkah efektif diambil bagi mengatasi masalah itu.

Mengenai langkah efektif dijalankan bagi mengatasi masalah nahas jalan raya, Loke memaklumkan Kementerian Pengangkutan (MoT) membangunkan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022- 2030 (PKJRM 2022-2030).

“Penetapan PKJRM 2022-2030 adalah untuk mencapai pengurangan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sekurang-kurangnya pada kadar 50 peratus menjelang 2030.

“Ia selaras dengan seruan dan sasaran Resolusi 74/299, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” kata Loke.

Dalam masa sama, katanya, MoT dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang meneliti pelaksanaan pembangunan berasaskan konsep Transit Oriented Development (TOD).

Menerusi inisiatif tersebut, ia bermatlamat mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian bagi memenuhi keperluan mobiliti individu, selain menggalakkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam.

BACA JUGA Pelarasan gaji penjawat awam diumum bulan depan