Kerusi Selat Kelang tidak dikosongkan
Tiada kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang yang disandang Datuk Abdul Rashid Asari, umum Speaker DUN Selangor, Lau Weng San.
Kata Lau, pemberhentian keahlian ADUN Selat Kelang dalam Bersatu didapati sebagai satu pemecatan terancang di bawah operasi Perkara LXVA 2(c) Perlembagaan Negeri Selangor.
“Notis dan bukti dari Yang Berhormat Hulu Kelang (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) tidak memenuhi beban pembuktian yang diperlukan untuk membuktikan yang sebaliknya.
“Dengan ini, saya mengisytiharkan bahawa kerusi DUN Selat Klang tidak dikosongkan,” katanya pada sidang DUN Selangor, hari ini
Bulan lepas, media melaporkan Azmin telah menghantar notis pengosongan kerusi kepada Speaker DUN susulan pemecatan keahlian Rashid daripada Bersatu.
Ia susulan tindakan Rashid yang juga Bekas Ketua Pimpinan Bersatu Selangor mengisytihar sokongannya kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pada Mac lepas
Sementara itu Speaker berkata, berdasarkan semakannya termasuk dalam Fasal 10 dan Fasal 22 Perlembagaan Bersatu, tiada bukti dokumen yang membuktikan perlembagaan parti tersebut berkuat kuasa secara retrospektif iaitu sebelum 1 April 2024.
“Tindakan Abdul Rashid yang menyokong kepimpinan Datuk Seri Amirudin Shari dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada Mei lalu bukanlah satu maklumat pertama.
“Situasi ini adalah peristiwa yang berasal daripada kedudukannya pada 6 Mac lalu dan berlaku sebelum pindaan Perlembagaan Bersatu berkuat kuasa oleh Pendaftar Pertubuhan bertarikh 1 April lalu,” katanya.
Â