Kontroversi HRD Corp: 9 individu akan dirakam keterangan hari ini

Sembilan individ akan dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan yang dijalankan ke atas Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).

Tindakan itu susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 dan Jawatankuasa Wang Negara (PAC).

Menurut Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim dipetik Astro Awani, kesemua mereka terbabit diminta hadir ke Pejabat SPRM Putrajaya hari ini.

Hishamuddin turut mengesahkan tiada penahanan telah dilakukan setakat ini.

“Tida penahanan dilakukan. (Kita) baharu mendapatkan dokumen dari HRD Corp dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA),” lapor Astro Awani.

Petang semalam, sepasukan penyiasat SPRM dipercayai dilihat memasuki ibu pejabat HRD Corp di Jalan Beringin, Bukit Damansara di ibu negara.

Pasukan penyiasat itu dikatakan memasuki bangunan itu kira-kira jam 2.30 petang dan beredar dari situ dua jam selepas itu.

Sebelum ini, LKAN mendedahkan HRD Corp mempunyai kelemahan pengurusan dalam melaksanakan operasi dan aktiviti syarikat mengikut tata kelola dan peraturan ditetapkan.

Ekoran itu, menurut LKAN, agensi terbabit belum mencapai objektif penubuhannya, termasuk belum tercapai sepenuhnya termasuk KPI 2023 dan pindaan indikator KPI tidak diluluskan lembaga pengarah.

Jabatan Audit Negara juga melaporkan, prestasi penyaluran levi kepada majikan pada 2020 juga tidak mencapai sasaran KPI ditetapkan, manakala sasaran KPI bagi tujuan sama (penyaluran levi) untuk 2021 hingga 2023 tidak ditetapkan.

Dapatan itu diperoleh hasil pengauditan antara Ogos 2023 hingga Mac lalu.

“Sejumlah RM4.81 juta baki geran kerajaan pada 2020 tidak digunakan dan belum dikembalikan kepada kerajaan, selain sebanyak 62 permohonan levi berjumlah RM1.68 juta diluluskan selepas tarikh latihan serta baki levi tertunggak berjumlah RM205.42 juta setakat 31 Disember lalu.

“Selain, seramai 3,726 peserta Skim Gerak Insan Gemilang mengikuti latihan lebih daripada sekali di bawah skim sama dengan membabitkan bayaran berjumlah RM51.69 juta,” menurut LKAN lagi.

BACA JUGA ‘Kalau kita masih kusut dengan fahaman jahiliah…’ – Ini pesan PM depan dua tokoh Maal Hijrah 1446H

Â