Pelarasan gaji penjawat awam diumum bulan depan

Perincian berkenaan mekanisme pelarasan gaji penjawat awam akan diumumkan serentak dengan pelancaran Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dijadualkan bulan depan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, perkara itu dijangka diumumkan pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19.

“Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan berkenaan pelaksanaan SSPA yang menjelaskan mekanisme berkenaan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang meminta Perdana Menteri menyatakan perincian berhubung mekanisme kenaikan gaji penjawat awam.

Ia termasuk kajian kebolehlaksanaan yang telah dijalankan serta sumber tambahan yang dianggarkan mencecah RM10 bilion bagi tujuan menampung unjuran peningkatan belanja mengurus.

Dr Zaliha berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Pekerja 2024 telah mengumumkan pemberian pelarasan gaji kepada penjawat awam.

Menurutnya, pemberian pelarasan gaji kali ini juga dijangka lebih tinggi berbanding pelarasan gaji terakhir yang diterima oleh penjawat awam pada 2012 iaitu sebanyak 13 peratus.

“Keputusan ini telah mengambil kira pelbagai aspek sosial dan ekonomi serta kemampuan kewangan kerajaan,” katanya.

Bulan lalu, Perdana Menteri dilaporkan berkata, perincian berhubung kenaikan gaji penjawat awam akan diumum sebelum pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober depan.

Menurut Anwar, perkara itu penting kerana sudah terlalu lama penjawat awam tidak menikmati kenaikan gaji yang setaraf dengan kerja keras mereka selama ini.

BACA JUGA Kontroversi HRD Corp: 9 individu akan dirakam keterangan hari ini

Â