Selepas diserah kepada pakar, perincian RUU Mufti dirujuk Majlis Raja-Raja minggu depan
Perdana Menteri memaklumkan perincian mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 2 Julai lalu akan dirujuk kepada Majlis Raja-Raja minggu depan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RUU berkenaan pada masa ini dalam proses perbincangan di peringkat pakar.
“RUU Mufti sedang dibincang dan mendengar pandangan, (bagaimanapun) tidak ada pertikaian dalam soal Ahli Sunnah Wal Jamaah dan merujuk (mazhab) Syafie, Maliki, Hanafi dan Hambali serta pandangan lain.
“Cuma kadang-kala perincian itu ada dibincangkan… jadi saya serah kepada pakarnya dan kemudian akan dirujuk kepada Majlis Raja-Raja, minggu depan,” jelasnya.
Pada 2 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar membentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat berhubung tiga RUU membabitkan hal ehwal Islam di negara ini.
RUU berkenaan dijadual dibentangkan untuk bacaan kali kedua minggu depan di Dewan Rakyat.
RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 merangkumi RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.
RUU Mufti itu juga menyenaraikan penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam yang dipengerusikan oleh mufti.
BACA JUGA Integriti Syed Saddiq terus dipertikai, ‘honest mistake’ atau kesilapan sengaja?