Peluang ibu berkerjaya di Selangor mohon insentif MamaKerja
Bermula jam 3 petang ini, golongan ibu berkerjaya di Selangor berpeluang memohon insentif MamaKerja.
Permohonan akan diproses atas dasar ‘siapa cepat, dia dapat’.
Wanita yang bekerja di Selangor atau menetap di negeri itu melebihi 10 tahun, mempunyai tiga anak berumur 12 tahun ke bawah dan berpendapatan isi rumah RM8,000 ke bawah, layak untuk memohon.
Inisiatif di bawah Kerajaan Negeri Selangor yang bertujuan bagi meringankan beban ibu berkerjaya masih mempunyai 1,000 slot lagi yang dibuka untuk permohonan.

Inisiatif MamaKerja merupakan antara akujanji yang ditawarkan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat semasa PRN Selangor, Ogos tahun lalu.
Setakat ini, 4,042 permohonan telah diluluskan sejak dibuka bermula 1 November tahun lalu.
MamaKerja merupakan antara janji 100 hari Kerajaan Negeri Selangor di bawah Program 5 Tekad untuk 5 Tahun, untuk meringankan beban penjagaan anak wanita bekerja.
Ia dibuka kepada 5,000 wanita bekerja yang akan menerima insentif RM1,000 seorang, dengan peruntukan keseluruhan RM5 juta.
Insentif berkenaan akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank penerima.
Setakat November hingga Mei, kerajaan negeri telah menerima sebanyak 6,094 permohonan.
Bagaimanapun, 2,052 permohonan ditolak kerana tidak mematuhi kriteria kelayakan atau terlepas tarikh akhir permohonan.
Permohonan boleh dibuat melalui aplikasi SELangkah atau melalui laman web mamakerja.selangkah.my mulai hari ini.
Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi 1-800-22-6600 atau e-mel info@selcare.my.
BACA JUGA Menantu bekas menteri Pas disyaki seleweng derma direman
Â