Perbetulkan jurang antara PH dan BN di akar umbi, kata AMANAH
Timbalan Presiden AMANAH, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berpendapat perlunya gerak kerja parti dari akar umbi, penguasaan media sosial dan jentera penerangan dipertingkat.
Beliau yakin sekiranya hal tersebut dicapai, Kerajaan Perpaduan mempunyai masa depan yang cerah untuk terus memimpin negara pada masa akan datang.
“Terbentuknya kerajaan hari ini walaupun stabil dari segi majoriti tetapi dari sudut undi rakyat ia masih berpecah kepada segmen PN, BN dan PH dan anak muda yang tidak menentu.
“Di peringkat akar umbi keadaannya masih berselerak dengan pelbagai masalah dalaman parti masing-masing waima dari parti komponen kerajaan sendiri.
“Fakta ini sendiri menyumbang gerak-kerja yang masih tempang di akar umbi terkhusus antara PH-BN, walaupun di peringkat atasan pemimpin PH-BN dapat menserasikan diri sesama mereka.
“Di peringkat negeri dan bahagian pula, seolah-olah ada jurang yang besar antara PH-BN dalam mencapai maksud politik kesepakatan yang sebenar,” katanya.
Menurutnya, program mencapai maksud kesepakatan sebenar harus dijadikan keutamaan kerana ia akan menjadi faktor pengubah kepada penguasaan Kerajaan Perpaduan apabila berhadapan dengan politik akar umbi seperti PRK baru-baru ini.
“Jika keadaan ini tidak berubah, kita menjangkakan dalam mana-mana PRK akan datang penyandang akan kekal kerana tidak ada kesepakatan akar umbi di bawah.
“Menuding jari siapa yang membawa undi atau gagal membawa undi tidak akan membantu keadaan,” kata bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu lagi mengulas keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap.
BACA JUGA Menantu bekas menteri Pas disyaki seleweng derma direman