Hilang selepas hantar kereta sewa, di mana Farah?
Seorang bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu dipercayai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Pihak polis menerima laporan berhubung kehilangan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, pada jam 1.56 pagi, semalam.
Gadis berasal dari Sarawak itu dilaporkan hilang selepas tidak pergi ke tempat kerja seperti biasa.
Kali terakhir dilihat, Nur Farah Kartini dilihat memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar hitam.
Wakil pengurusan sebuah syarikat perkhidmatan kereta sewa di Tanjung Malim dilapor berkata, Farah hilang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di taman perumahan kira-kira jam 8 pagi pada 10 Julai lalu.
“Selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di taman itu, saya difahamkan Farah beredar dengan menaiki sebuah kereta berwarna merah.
“Namun, model kereta dan nombor pendaftaran yang dinaiki itu tidak diketahui, secara kebetulan pagi itu hujan.
“Sebelum kejadian itu, seorang wakil pengurusan syarikat ada menghubungi Farah untuk menghantar kereta sewa berkenaan sebelum dia membalas pesanan menerusi WhatsApp seperti biasa,” katanya, lapor BH.
Wakil yang tidak mahu identitinya disiarkan itu memberitahu komunikasi terakhirnya dengan Farah pada jam 8.14 pagi dan selepas itu dia tidak dapat dihubungi lagi sehingga sekarang.
Beliau berkata, pihaknya ada menghubungi telefon bimbit yang digunakan gadis itu tetapi tiada jawapan, selain pesanan WhatsApp yang dihantar juga tidak dibalas atau dibaca.
Jelasnya, ibu dan ahli keluarga Farah berasal dari Sarawak, tetapi gadis itu mempunyai saudara yang tinggal di Semenanjung.
“Pada malam hari kejadian, abang Farah yang tinggal di Selangor datang ke Tanjung Malim bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan tentang adiknya.
“Saya mohon pada Farah kalau terbaca berita ini, pulanglah Farah kerana kami semua tunggu dia kembali dengan selamat,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Ini penegasan PM Anwar buat guru bermasalah, cuai dalam tugas
Â