Jaga-jaga siapa buat TikTok bacaan Qunut Nazilah ajak doakan musibah kepada PM

Melampau apabila penyokong pembangkang membuat hantaran satu akaun TikTok yang menyertakan bacaan Qunut Nazilah sambil mengajak orang ramai mendoakan musibah ke atas Perdana Menteri.

Susulan itu, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata JAKIM sekali gus menyerahkan kepada MCMC untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas akaun itu.

“Kita akan meminta MCMC menilai kandungan berkenaan, dan terpulang kepada pihak berkuasa itu untuk mengambil tindakan lanjut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Jelajah Madani Ulama dan Umara Peringkat Zon Utara, di Ipoh, hari ini.

Beliau menegaskan tindakan pengguna media sosial terbabit tidak sepatutnya berlaku, malah ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Katanya, jika terdapat perbezaan pandangan atau pendapat, ia boleh dizahirkan dengan beradab menerusi cara yang betul.

“Mengadakan doa supaya pemimpin-pemimpin dilaknat itu bukan ajaran agama kita. Nabi Muhammad SAW mengajar berkasih sayang.

“Sekiranya (ada) beza pandangan, apatah lagi dengan pemimpin seagama kita, sepatutnya kita menzahirkan biarlah dengan adab dan cara yang betul,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Kontroversi promosi produk menyerupai alat sulit: Apa kata Neelofa?

Â