Terkejut lihat pempengaruh agama terkinja-kinja sebelah paparan al-Quran

Seorang pempengaruh agama dilihat selamba berjoget diiringi muzik rancak ketika skrin di sebelahnya terpampang paparan surah al-Quran.

Sedutan klip video berdurasi hampir 30 saat itu tersebar di media sosial sekaligus mengundang kebimbangan orang ramai mengenai trend tidak senonoh itu.

Hal tersebut antaranya dibangkitkan oleh pengguna X, Sarah yang menggesa pihak berkaitan menapis pempengaruh yang menjadikan al-Quran dan agama Islam sebagai content.

“Saya minta maaf tapi perangai macam ni sangat terkutuk. Sebelah skrin paparan Quran, sebelah lagi terkinja-kinja.

“Perkara ni susah, tapi saya harap dapat campur tangan pihak berkuasa. Kalau boleh buat polisi tapis influencer agama, tolonglah buat,” rayunya.

Beliau juga berpendapat ancaman terhadap Islam jauh lebih mudarat apabila dilakukan oleh Muslim sendiri.

“Kita selalu dimomokkan dengan golongan sekular dan liberal yang beri ancaman pada agama kita.

“Padahal, orang Islam sendiri yang menyebabkan umat dalam bahaya,” kata Sarah lagi.

Menerusi rakaman video berkenaan, pempengaruh berkenaan dilihat teruja kerana ribuan menonton siaran langsungnya Ketika itu.

“Ya Allah. 6,500 mata memandang (views),” katanya spontan berjoget seketika mengikut rentak muzik rancak sambil mengucapkan terima kasih kepada penonton.

Susulan itu, orang ramai mengecam aksi individu berkenaan, malah ada yang memberitahu dia memang sudah terkinja-kinja begitu sejak zaman wabak Covid-19 lagi.

Dalam satu siaran langsung lain pula, pempengaruh berkenaan berkeras mengarahkan seorang perempuan yang ingin belajar membaca al-Quran menghidupkan kamera untuk dilihat wajahnya.

Dia yang mempunyai sejuta pengikut di Facebook dan lebih 244,200 followers di TikTok itu hanya baru boleh mengajar jika pelajarnya memaparkan muka semasa mengaji secara live.

“Nak ajar al-Quran kena jaga akhlak. Yang folow pun kena fikir. Nampak pelik cari ustaz lain.

“Seriuslah? Tak rasa bersalah ke? Tak rasa berdosa ke? Saya bila mengaji, berhenti sebab jawab pertanyaan orang pun rasa serba salah, dia boleh macam tu?

“Kononnya nak tarik anak muda minat belajar al-Quran. Saya pun mengajar al-Quran online juga. Majoriti pelajar remaja dan bawah umur 30-an. Tak perlu pun terkinja-kinja.

“Apasal menari macam tu? Macam beruk,” demikian antara komentar pengguna media sosial.

BACA JUGA Dihalang masuk rumah, isteri Taib Mahmud buat laporan polis

Â