Banyak serang kerajaan tapi tak pernah lihat Akmal hentam PN

Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh dilihat lebih banyak mengkritik Kerajaan Perpaduan berbanding Perikatan Nasional (PN), bahkan pandangannya kini selari dengan kumpulan itu.

Beliau dianggap tidak lagi mengikut tradisi pemuda UMNO yang sentiasa mendukung parti dan presidennya.

Timbalan Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria berkata, adalah lebih baik jika ADUN Merlimau itu berfikir sekali lagi hala tujunya sama ada sesuai atau tidak bersama dengan Kerajaan Perpaduan.

“KP UMNO ini tidak pernah dilihat mengkritik Perikatan Nasional. Bahkan, banyak suaranya selari dengan PN.

“KP UMNO dulu-dulu sentiasa mendukung presiden parti dan partinya. KP UMNO Akmal, nampak tidak ikut tradisi pemuda UMNO. 

“Akmal juga dilihat rapat dan amat mesra dengan pemimpin Armada Bersatu. Tidak mesra dia dengan pemimpin-pemimpin Pemuda PH. 

“Jika setiap perkara tidak setuju dengan Kerajaan Perpaduan, sentiasa selari dengan pandangan PN, eloklah fikir lagi sekali hala tuju kamu, sesuaikah bersama Perpaduan?,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Zaidi berkata, terserlah sikap Akmal yang bagai “gunting dalam lipatan”, “api dalam sekam” dan “musuh dalam selimut”.

“Tindakan kamu tidak menguntungkan UMNO, tidak menguntungkan Perpaduan,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Pasal Bersatu, undang-undang anti lompat parti lompang

Â