10 kes buli siber berlaku setiap hari, wanita paling ramai jadi mangsa

Secara purata se­banyak 10 kes buli siber se­tiap hari berlaku di negara ini dalam tempoh dua tahun sejak 2022 hingga 9 Julai lalu, menurut Data yang dikongsi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Dalam tempoh terbabit, suruhanjaya berkenaan menerima 9,483 aduan kes siber buli di mana wanita paling ramai menjadi mangsa dengan sebanyak 4,878 kes, manakala 4,605 kes lagi berlaku kepada lelaki.

Menurut Utusan Malaysia yang memetik Laporan Digital Global 2024, kira-kira 16.4 juta orang atau 57.5 peratus penduduk Malaysia yang menggunakan media sosial untuk mengisi masa lapang, terdedah melakukan perbuatan buli siber sama ada secara langsung atau sebaliknya.

Laporan itu turut menyatakan, sebanyak 28.68 juta orang atau 83.1 peratus daripada penduduk Malaysia mempunyai akaun media sosial.

Sebelum ini kecoh apabila seorang pempengaruh wanita didakwa menamatkan kehidupannya sendiri kerana tertekan menjadi mangsa buli siber.

Pengguna mendakwa kematian wanita berusia 29 tahun itu adalah akibat gangguan tanpa henti yang dia alami selama beberapa minggu, dan tertekan akibat dibuli beberapa individu dengan komen-komen jelik di TikTok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kejadian-kejadian buli siber yang berlaku akhir-akhir ini sehingga mengakibatkan kematian.

Me­nurut Kementerian Kesihatan (KKM), buli siber adalah perbuatan mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti e-mel, laman rangkaian sosial, mesej atau permainan internet. 

BACA JUGA Gelombang Selamatkan Malaysia dipermainkan netizen