Kg Sg Baru: Johari! Dahulu kamu yang minta jangan tanda tangan, sekarang mereka terkontang kanting

Ahli Parlimen Titiwangsa,Datuk Seri Johari Ghani diminta membantu penduduk Kampung Sungai Baru yang kini dihalau untuk mendapatkan pampasan yang sewajarnya selepas tanah mereka dirampas melalui Akta Pengambilan Tanah.

Bekas calon Pakatan Harapan Titiwangsa yang melawan beliau dalam pilihan raya umum lalu, Khalid Samad dalam sidang medianya hari ini berkata, pemilik yang menurut nasihat Johari dahulu kini terkontang-kanting.

“Kamu dahulu yang nasihatkan mereka agar jangan tandatangan kerana bimbang projek tidak berjalan kerana pemajunya tidak berwibawa dan sebagainya.

“Kini mereka yang dengar kata kamu dahulu terkontang kanting tanpa hala tuju dalam kes ini. Mereka kini dihalau.

“Sekarang kamu (Johari) pula bersama pemaju. Sepatutnya tolonglah mereka dapatkan pampasan yang sewajar, bukan mereka hendak halang projek ini” kata Khalid kepada Johari yang merupakan Menteri Industri Pertanian dan Komoditi dalam Kerajaan Perpaduan sekarang.

Khalid juga meminta Menteri Wilayah supaya mendapatkan pampasan yang munasabah untuk pemilik tanah ini.

Beliau juga bertanya, kenapa pemilik ini perlu keluar hari ini sedang proses untuk pembangunan tidak berjalan lagi kerana permohonan pembangunan (DO) belum dipohon lagi.

“Kerajaan tidak boleh lepas tangan dan kena selesaikan dengan baik,” kata Khalid yang kini adalah Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan.

192 dari pemilik unit flat di Kampung Sungai Baru sudah menyatakan persetujuan mereka untuk menerima pampasan dan keluar dari tanah mereka selepas menerima arahan melalui Akta Pengambilan Tanah.

Namun 72 lagi masih belum bersetuju menerima pampasan tu.

Untuk rumah teres pula, hanya 27 bersetuju menerima tawaran itu manakala 37 lagi tidak bersetuju dan 32 unit lagi tidak dikenakan tindakan notis keluar melalui akta itu.

BACA JUGA Khalid minta kerajaan tubuh JK kaji untuk selesaikan projek River of Life

Â