Khalid minta kerajaan tubuh JK kaji untuk selesaikan projek River of Life

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Haji Khalid Samad meminta agar kerajaan menilai dan meneruskan projek River Of Live (ROL) yang diusahakan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Menurut Khalid, Ketika beliau dilantik menjadi Menteri Wilayah Persekutuan pada 2018 hingga dijatuhkan pada 2020 lalu, ROL telah siap hampir 80 peratus sahaja dengan perbelanjaan hampir RM4 billion.

“Namun baru-baru ini, Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaleha memaklumkan, projek ROL ini hanya siap 81 peratus sahaja dengan belanja hampir RM4 billion.

“Maknanya, selama tiga tahun pemerintahan PN ini, tidak ada sebarang perkembangan yang berlaku kepada projek ini.

“Mereka sibuk dengan benda lain, agenda lain. River Of Life tidak dihiraukan,” kata beliau dalam sidang media hari ini.

Khalid dipercayai mengulas laporan projek ROL yang kemukakan oleh Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang dibentangkan di Dewan Rakyat 4 Julai lalu mendedahkan Projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL) tidak berjaya disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan walaupun sebanyak RM3.915 bilion sudah dibelanjakan.

Analisis terhadap tempoh projek pula menunjukkan projek lewat disiapkan sehingga melebihi lapan tahun dengan peningkatan kos kepada kerajaan.

“Pengauditan juga mendapati kesemua objektif RoL masih belum berjaya dicapai. Ini termasuk objektif RoL untuk meningkatkan kualiti air sungai ke Kelas IIB yang sukar untuk dicapai kerana kelemahan dalam aspek perancangan, pelaksanaan projek, tahap operasi aset rendah serta tahap pematuhan dan kesedaran penjagaan sungai yang masih rendah.

“Hasrat Kerajaan untuk mendapatkan pulangan sehingga RM4 bilion bagi membiayai kos pelaksanaan RoL dan mengelakkan penggunaan dana awam juga tidak tercapai kerana hasil penjualan tanah tertakluk kepada pemilik masing-masing,” kata laporan itu.

Pengauditan terhadap Projek RoL dilaksanakan untuk menilai sama ada ia dilaksanakan dengan ekonomik, cekap dan berkesan di samping meningkatkan kualiti air sungai ke Kelas IIB, meningkatkan aktiviti ekonomi dan kualiti hidup rakyat, membangunkan tanah kerajaan di sekitar lokasi projek dan memberikan pulangan kepada kerajaan berjumlah RM4 bilion.

Pengauditan tertumpu kepada prestasi dan pengurusan projek di bawah komponen pembersihan dan pengindahan sungai serta pembangunan tanah dalam kawasan RoL.

Laporan itu mendapati sebanyak 159 kontrak kerja dan projek fizikal sudah dirancang untuk pelaksanaan RoL.

Berdasarkan Maklumat Ringkas Senarai Pakej Projek RoL oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan maklum balas agensi pelaksana, sehingga Julai 2023 sebanyak 145 projek dimulakan, 12 masih dalam peringkat pra pelaksanaan dan dua dibatalkan.

Analisis lanjut menunjukkan sebanyak 135 (84.9 peratus) daripada 159 projek sudah berjaya disiapkan, manakala lapan projek (lima peratus) dalam pelaksanaan, 12 (7.5 peratus) dalam pra pelaksanaan, dua (1.3 peratus) ditamatkan kontrak yang mana kontraktor penyiap belum dilantik dan dua (1.3 peratus) dibatalkan.

Sementara itu, analisis audit terhadap tempoh penyiapan bagi 135 projek setakat Julai 2023 mendapati 26 (19.3 peratus) projek sudah siap mengikut jadual dan 48 (35.5 peratus) projek siap dengan pelanjutan masa (EOT) antara 27 hingga 2,227 hari.

BACA JUGA 10 kes buli siber berlaku setiap hari, wanita paling ramai jadi mangsa