‘Dah ambil tanah orang, takkan tak boleh datang jumpa’ – Khalid kepada menteri

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad hari ini menuntut agar menteri, Dr Zaliha Mustafa segera turun bertemu penduduk Kampung Sungai Bharu dan berbincang berkenaan pampasan yang adil kepada mereka.

Beliau mewakili penduduk meluahkan ketidakpuasan hati ekoran pampasan yang diberikan terlalu rendah iaitu pada kadar RM400 sekaki persegi.

Ini bukan kali pertama isu tersebut disuarakan, namun menurut Khalid ia masih belum selesai kerana menteri didakwa telah dinasihat oleh peguam untuk tidak melanjutkan sebarang perbincangan dengan bekas pemilik tanah.

“Wahai Menteri Wilayah Persekutuan, kita bukan minta hentikan projek. Kita hanya minta keadilan pampasan. Jangan sebut soal majoriti, minoriti… itu tak relevan. Minoriti pun ada hak. Bagi hak pampasan munasabah.

“Dalam satu perbincangan, menteri sebut pada saya. Dia dinasihat peguam untuk tidak berbincang dengan mantan pemilik, sebaliknya berbincang terus dengan pemaju.

“Saya tak tahu peguam mana tapi kita Kerajaan Madani. Kita kena ada wawasan tersendiri. Kita yang ambil tanah dia orang, takkan kita tak nak datang jumpa,” katanya dalam sidang media hari ini.

Pada masa sama, Khalid mencurigai tindakan pemaju yang tergesa-gesa mengusir penduduk keluar dari tanah itu, mendakwa seperti ada muslihat lain.

“Kenapa nak diusir hari ini. Pemaju apply DO pun tak selesai lagi. Saya khuatir pemaju nak flip. Bila semua dah keluar, dia jual pada pemaju lain. Dia buat keuntungan atas angin. Itu yang kita risau. Itu yang dia sungguh-sungguh sangat usir kelar.

“Kerajaan guna Akta Pengambilan Tanah 1960, jadi kerajaan tak boleh lepas tangan, kena selesaikan dengan baik,” ujarnya lagi.

Sehingga kini, penduduk masih menuntut menaikkan jumlah pampasan daripada RM400 kepada antara RM950 hingga RM1,000 sekaki persegi.

BACA JUGA SRG harumkan nama negara, Ahmad Zahid ikrar bangun industri sukan digital

Â