Mahkamah diberitahu pengecualian cukai Yayasan Al-Bukhary dibatal zaman Mahiaddin

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang telah membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Al-Bukhary ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

Ia diberitahu oleh peguam kepada bekas Menteri Kewangan, Lim Guang Eng, iaitu Guok Ngek Seong.

Kata peguam itu, surat yang yang ditandatangani Pengerusi Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary pada 5 Feb 2021 ada tertulis satu perkataan ‘baru-baru ini’.

Ia membawa maksud perkara pembatalan atau pembatalan status pengecualian cukai itu berlaku ‘baru-baru ini’.

Beliau berkata surat daripada Syed Mokhtar tidak langsung menyatakan bahawa plaintif (Guan Eng) atau Kerajaan Pakatan Harapan yang jatuh pada penghujung Februari 2020 sebagai orang yang bertanggungjawab dengan pembatalan tersebut.

“Dalam mana-mana keadaan, tiada satu bukti atau dokumen pun yang boleh membuktikan plaintif yang menyebabkan pengecualian cukai diberikan kepada Yayasan Al-Bukhary dibatalkan.

“Malah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membuat kenyataan pada 21 Mac 2023 di Parlimen, yang membongkar dan mendedahkan kenyataan fitnah defendan yang palsu.

“Anwar menjelaskan kepada Parlimen bahawa plaintif tidak pernah membatalkan status pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Al-Bukhary,” kata peguam itu seperti dilapor Harian Metro.

Guok berkata demikian dalam pernyataan pembukaan pada hari pertama perbicaraan kes saman difailkan Lim terhadap Mahiaddin, berhubung pembatalan pengecualian cukai ke atas Yayasan Al-Bukhary.

Kata Guok, sebelum Mahiaddin menyiarkan tiga kenyataan berunsur fitnah terhadap Guan Eng, defendan sudah tahu mengenai kandungan sebenar surat dikeluarkan Syed Mokhtar bertarikh 5 Feb 2021.

“Oleh kerana defendan tahu atau sepatutnya mengetahui kandungan surat dikeluarkan Tan Sri Syed Mokhtar kepada defendan, satu-satunya penjelasan mengapa defendan terus mengeluarkan kenyataan fitnah secara terang-terangan dengan menyerang plaintif adalah demi survival politik defendan.

“Ini penting bagi defendan kerana defendan ketika itu berhadapan kemungkinan didakwa di mahkamah,” katanya lagi

Pada 27 Mac 2023, Guan Eng memfailkan saman terhadap Mahiaddin kerana didakwa mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah di Facebook berhubung isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023. Laporan itu kemudian diterbitkan beberapa akhbar dan portal berita.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu juga mendakwa kenyataan fitnah itu juga bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan LHDN mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak sepatutnya dikenakan cukai.

BACA JUGA Padah seleweng derma, SPRM beku 20 akaun pempengaruh babit RM740,000

Â