Padah buat komen jelik di TikTok, MCMC siasat 2 individu
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat dua lelaki gara-gara meninggalkan komen jelik dan bersifat provokatif dalam satu siaran ulangan sesi Parlimen di TikTok pada 9 Julai lalu.
Sesi rakaman percakapan terhadap kedua-dua suspek telah dijalankan semalam setelah aduan diterima daripada orang awam, menurut kenyataan MCMC hari ini.
Suruhanjaya itu berkata, dalam operasi yang dijalankan, kad sim dan telefon pintar milik kedua-dua suspek yang digunakan untuk memuat naik komen jelik itu telah disita bagi membantu siasatan.
Terdahulu, MCMC telah menyerahkan Notis Kehadiran kepada kedua-dua suspek mengikut prosedur yang ditetapkan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Seksyen tersebut melarang pembuatan atau penghantaran komunikasi yang antara lain bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.
MCMC memandang serius penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi dan media sosial dan mengingatkan orang ramai untuk tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk membuat sebarang hantaran serta komen yang bertentangan dengan undang-undang negara.
BACA JUGA Ramai hiba lihat hantaran terakhir Nur Farah, seakan sudah tahu akan pergi
Â