Sah! Kim Pan Gon letak jawatan, dedah sebab tinggalkan Harimau Malaya

Peminat sukan bola sepak dikejutkan dengan pengumuman peletakan jawatan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon yang berkuatkuasa serta-merta, hari ini.

Keputusan itu diumumkan Pan Gon dalam satu sidang media khas di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Tanpa menjelaskan lanjut, Pan Gon berkata peletakan jawatan itu dibuat kerana “komitmen peribadi”. 

“Hari ini, saya memutuskan untuk berundur sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia kerana komitmen peribadi saya. 

“Saya memohon maaf atas sebarang kekecewaan yang mungkin ditimbulkan kepada semua pihak,” katanya kepada media.

Tempat Pan Gon kini diisi pembantu jurulatih, Pau Marti Vicente sebagai pemangku ketua jurulatih sambil dibantu seorang lagi pembantu jurulatih, E Elavarasan.

Timbalan Presiden FAM, Mohd Yusoff Mahadi berkata Pan Gon pada mulanya ingin memendekkan kontraknya.

Bagaimanapun, kata Yusoff, FAM juga memujuk tetapi akhirnya menghormati keputusan itu, biarpun kontraknya masih berbaki sehingga Disember 2025.

Pan Gon menyifatkan tempoh dua tahun setengah berkhidmat di Malaysia sejak Februari 2022 sebagai satu perjalanan yang indah dan luar biasa dalam hidupnya terutama apabila berjaya membawa skuad Harimau Malaya layak secara merit ke Piala Asia selepas tempoh 43 tahun.

“Sejak saya tiba pada Februari 2022, selama dua setengah tahun yang lalu, rakyat Malaysia benar-benar menghadiahkan saya satu perjalanan yang sangat luar biasa dan indah dalam hidup saya.

“Pada Jun 2022, kita bersama-sama berkongsi kegembiraan Malaysia layak ke Piala Asia secara merit selepas tempoh 43 tahun dan sejak itu, kita sudah meningkat ke tangga ke-130 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA),” katanya. 

Malaysia bawah bimbingannya mencatatkan kenaikan ranking sehingga ke kedudukan 130 dunia.

Walaupun meninggalkan pasukan kebangsaan, Pan Gon menganggap dirinya sebagai “separuh rakyat Malaysia”

“…saya akan sentiasa menyokong pasukan bola sepak Malaysia dan berbangga dengan Malaysia ke mana sahaja saya pergi,” ujarnya.

BACA JUGA Poster ucapan tahniah Pas Selangor kepada Red Giant timbul isu