Anggota penguat kuasa PBT lindungi premis niaga warga asing, apa kata Dr Zaliha?
Mana-mana anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tegar melindungi premis perniagaan warga asing tidak lagi senang hati sekarang ini.
Mana tidaknya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang giat memburu melalui operasi besar-besaran bagi menahan mereka terlibat.
Era Madani ini menyaksikan kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dengan anggota penguat kuasa PBT yang tidak bertanggungjawab dan ‘makan suap’.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM bagi menyiasat perkara terbabit.
“Kita tidak akan melindungi mana-mana pihak. Siapa sahaja kita akan ambil tindakan dan kita pun ada juga jawatankuasa atau unit khusus untuk melihat dari sudut disiplin dan sebagainya (jika ada anggota penguat kuasa) melanggar tata kelola dan urus tadbir yang baik.
“Kita akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa dan jika benar berlaku apa-apa dan ada penemuan tertentu, kita serahkan sepenuhnya kepada SPRM,” ujarnya.
Zaliha berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan ke SUKMA Ke-21 Sarawak, hari ini.
Menurutnya, tindakan yang diambil SPRM itu seharusnya menjadi kesedaran kepada anggota penguat kuasa PBT serta agensi kerajaan yang lain.
“Ya betul ini adalah ‘wake up call’ bukan sahaja di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), malah di semua PBT dan mungkin di agensi-agensi lain juga,” tambahnya lagi.
Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dilapor berkata, pihaknya akan menjalankan operasi terbabit di sekitar ibu negara.
SPRM juga menyasarkan warga tempatan yang ‘mengalibabakan’ lesen perniagaan kepada warga asing.
BACA JUGA Terkini: Polis temui bukti baru milik Nur Farah lepas sejam menyelam dalam parit
Â