Fahmi Fadzil kecewa pembuli Esha cuma didenda RM100
P. Shalini iaitu wanita yang membuli siber seorang pempengaruh media sosial, mengaku bersalah kerana berkelakuan menghina dengan niat untuk menimbulkan kemarahan dan mengganggu ketenteraman.
Hakim Mahkamah Sesyen, Arunjothy M Selwarwam kemudian telah mengenakan denda sebanyak RM100 atau penjara selama 7 hari jika denda tersebut tidak dibayar oleh pelaku.
Isu denda yang terlalu kecil itu mendapat perhatian ramai termasuk Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menyuarakan rasa kecewanya.
“Saya kesal dengan denda yang kecil, tetapi saya difahamkan oleh Pejabat Peguam Negara bahawa hukuman dikenakan berdasarkan bukti yang diperolehi.
Kita perlu mengkaji semula definisi buli siber, dan apakah denda yang sesuai untuknya
, kata Fahmi dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama di KL Startup Summit 2024 hari ini, menurut laporan FMT.
Semalam Fahmi berkata, penambahbaikan aspek perundangan akan diteliti kerajaan, termasuk mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian berkaitan dalam masa terdekat, bagi memperketatkan undang-undang berkaitan buli siber,
Terdahulu Shalini yang bekerja di rumah jagaan orang tua, dituduh membuat kenyataan menghina menerusi akaun TikTok alphaquinnsha, pada 4 pagi, 1 Julai lalu.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.
Esha, 29, ditemui maut di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur pada 5 Julai lalu, sehari selepas membuat laporan polis terhadap dua individu yang memfitnahnya di TikTok.
BACA JUGA Nelayan kantoi jadi dalang, guna kad pengenalan seleweng petrol