Akhirnya sah Ahli Parlimen Machang digantung enam bulan

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, sah digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula hari ini.

Ia susulan dakwaan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu mengenai dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) hanya bersandarkan maklumat dalam surat layang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan keputusan itu selepas usul berkenaan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Seramai 110 Ahli Parlimen bersetuju manakala 63 tidak bersetuju, selepas undi belah bahagi dijalankan, manakala tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.

Usul berhubung penggantungan Wan Ahmad Fayhsal (WAF) dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Usul itu menyatakan, WAF membawa perhatian suatu surat layang yang tidak dapat dikenal pasti identiti pengadu dan kesahihan maklumatnya.

Tuduhan tidak berasas itu bukan sahaja memberi kesan buruk kepada individu yang didakwa tetapi juga secara umum kepada pegawai agensi di bawah kementerian, yang mungkin teraniaya.

Dakwaan Wan Ahmad Fayhsal juga disifatkan satu perbuatan yang seolah-olah menjatuhkan martabat pegawai agensi di bawah kementerian yang bertungkus-lumus dalam membantu anggota pentadbiran dalam membangunkan Malaysia.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut dianggap mengeluarkan kenyataan dan dakwaan yang serius serta bertindak membangkitkan perasaan melawan kuasa kerajaan.

Semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu, WAF menuntut penjelasan berhubung keputusan penjualan sebahagian saham MAHB selepas beliau dikatakan menerima satu surat layang mendedahkan ‘dalang’ di sebalik keputusan berkenaan.

Tidak pernah mana-mana ahli Parlimen membawa surat layang sebagai asas hujah di Dewan Rakyat, WAF secara terbuka turut menamakan individu terbabit yang didakwanya pegawai atasan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sebelum itu, WAF mengemukakan usul tergempar bagi menggesa penangguhan atau pembatalan penjualan sebahagian saham MAHB kepada syarikat berkait BlackRock, Global Infrastructure Partners (GIP), namun usul itu ditolak Johari Abdul.

BACA JUGA Rosak pendengaran bayi tu, tindakan Rafidah memekik sambil usung anak dikecam

Â