Perlembagaan Persekutuan ‘lebih besar’ berbanding perlembagaan Bersatu
Ketua Sekretariat Media Perpaduan Datuk Lokman Noor Adam berkata semua pihak perlu memahami Perlembagaan Persekutuan adalah ‘lebih besar’ berbanding perlembagaan mana-mana parti.
Sehubungan itu, beliau berkata, tidak seharusnya timbul isu sama ada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul terkhilaf dalam membuat keputusan mengekalkan kerusi yang disandang enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.
“Memang awalnya pindaan yang dibuat dalam Akta Anti Lompat Parti adalah ketat, tak boleh alih sokongan, tak boleh langgar kenyataan ketua.
“Namun, Muhyiddin sendiri dalam ucapannya yang sudah tular termasuk menteri-menteri Bersatu yang menolak…
“Itu sebabnya akta yang dipinda ini tidak menyatakan dengan jelas bahawa seseorang yang ingkar arahan ketua Whip, tidak memberi sokongan kepada parti dia maka gugur…
“Kena faham bahawa Perlembagaan Persekutuan itu lebih besar daripada perlembagaan Bersatu.
“Yang dipinda selepas enam orang ahli Parlimen Bersatu terbabit memberi sokongan kepada Perdana Menteri bukan Perlembagaan Persekutuan. Yang dipinda adalah perlembagaan parti Bersatu,” tegasnya.
Lokman berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk “Status 6 MP Bersatu Akur atau Cabar Keputusan Speaker?” terbitan Bernama TV malam tadi.
Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan Bersatu mengalami situasi seperti senjata makan tuan kerana sebelum ini membantah pindaan Rang Undang-Undang Akta Lompat Parti 2022.
“Dia (Bersatu) longgarkan Akta Anti Lompat Parti ini selepas Pilihan Raya Umum ke-15, dia (sangka) boleh Tarik orang kita dan dia Tarik 10 orang kita.
“Tapi dia tak sedar kita pun cerdik juga. Presiden Umno bukan bodoh. Dah buat akujanji bahawa semua calon yang bertanding atas tiket BN kena tandatangan akunjanji.
“Kalau beri sokongan kepada orang lain, dia bukan saja kena RM100 juta, kerusi dia kosong,” tambah Lokman lagi.
Minggu lalu, Johari memutuskan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri kekal sebagai wakil rakyat.
Mereka juga tidak perlu mengosongkan kerusi mereka kerana pindaan perlembagaan Bersatu baru-baru ini bertentangan dengan peraturan Perlembagaan Persekutuan dan Parlimen.
Enam ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Mohd Aziz Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).
BACA JUGA Usul gantung MP Machang dikemuka hari ini
Â