Presiden tertua dalam sejarah AS kena Covid-19 lagi
Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dilaporkan dijangkiti Covid-19 ketika berkempen di Las Vegas semalam.
Setiausaha Akhbar White House Karine Jean-Pierre berkata, Biden mengalami gejala ringan dan akan ke Delaware untuk mengasingkan diri.
Presiden tertua dalam sejarah AS berkenaan telah diuji positif Covid-19 dua kali sebelum ini.
Biden, 81, dijadual untuk berucap di persidangan UnidosUS, organisasi hak asasi sivil Latina.
“Beliau telah menerima vaksin serta booster dan ketika ini mengalami gejala ringan,” kata Jean-Pierre, dipetik BBC.
Bertanding untuk penggal kedua, Biden dijangkiti Covid-19 ketika dia menghadapi tekanan yang semakin meningkat yang mendesaknya agar berundur.
Dalam debat yang kontroversi menentang pencabarnya dari Parti Republikan, Donald Trump, suara Biden kedengaran serak dan tergagap-gagap dalam menyusun ayat.
Calon Presiden Demokrat 2024 itu juga kelihatan kehilangan tumpuan dan sering bergelut untuk menyampaikan hujahnya.
Walau bagaimanapun, Biden menegaskan dia tidak akan menarik diri daripada bertanding untuk penggal kedua.
BACA JUGA Usul gantung MP Machang dikemuka hari ini