Peniaga lega harga sayuran turun mendadak hingga 20 peratus
Penjual runcit di pasar basah Johor Bahru menarik nafas lega apabila pemborong mula menghantar sayuran pada harga lebih rendah berbanding sebelum ini sekali gus melegakan mereka.
Harga sayur-sayuran di seluruh negara dilaporkan turun antara 15 hingga 20 peratus berikutan bekalan yang stabil susulan cuaca yang baik, sejak minggu lalu.
Timun yang sebelum ini pernah melonjak sehingga RM7 sekilogram (kg) berikutan hasil yang sangat kurang kini dilaporkan telah turun mendadak kepada antara RM1 dan RM1.50 setiap kg selepas pengeluaran meningkat.
Sawi panjang yang sebelum ini harga borongnya sekitar RM2 sekilogram pula kini jatuh kepada antara RM1 hingga 50 sen.
Perkara itu turut diakui seorang peniaga pasar basah Taman Dahlia, Tampoi, yang memaklumkan antara faktor harga sayur-sayuran mula turun adalah disebabkan cuaca yang lebih baik menyebabkan stok mempunyai lebihan berbanding sebelum ini yang menghadapi masalah kekurangan stok.
“Harga sayur-sayuran berdaun terutama sawi, bayam dan kangkung paling banyak penurunannya, dan kini dijual antara RM1.50 hingga RM3 sekilogram berbanding RM4.50 hingga RM5 sekilogram sebelum ini.
“Harga runcit daun salad bulat Cameron juga kini hanya antara RM3.50 hingga RM4 sekilogram berbanding RM7 sebelum ini manakala daun sup juga kini dijual runcit dengan harga antara RM3.50 hingga RM4 sekilogram, berbanding RM7 sebelum ini,” kata Suwanto Baharuddin, 48, menurut laporan Berita Harian.
Lapor portal itu, Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee, berkata cuaca yang baik dan panas berterusan kebelakangan ini menyebabkan pengeluaran hasil sayuran negara kembali meningkat dengan bekalan sayuran kembali stabil sejak minggu lalu.
Beliau berkata, selain cuaca yang baik, faktor bekalan sayuran negara kembali stabil adalah susulan isu pekerja ladang yang kurang sebelum ini dapat diatasi menyebabkan pengeluaran sayur-sayuran negara, terutama di Johor, Pahang dan Perak, kembali meningkat.
Katanya, selain sawi dan timun, harga borong kacang panjang yang sebelum ini pernah naik mendadak kepada RM9 kg kini kembali ke harga asal iaitu RM3.50 hingga RM4 setiap kg.
Mengulas lanjut, Ser Kwee berkata, harga borong sayur-sayuran tanah tinggi Cameron Highlands juga semakin turun apabila kira-kira 16 jenis sayur-sayuran ditanam di sana menunjukkan penurunan sejak lebih seminggu lalu.
BACA JUGA Sebar surat layang di Parlimen perbuatan terkutuk tetapi disucikan agamawan Pas