Tak ‘censored’ logo Instagram, patutlah TikTok padam video Dr Sam!

Beberapa video daripada akaun TikTok Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar didakwa telah diturunkan oleh platform TikTok tanpa notis.

Perkara tersebut menimbulkan kehairanan sehingga Pas Selangor menyalahkan perkara itu kepada kerajaan.

Mereka mendakwa tidak mustahil TikTok menerima “arahan istimewa” daripada seseorang untuk menyekat kandungan tidak disenangi kerajaan.

Pun begitu, seorang individu di aplikasi X memberitahu video pemimpin Pas itu dipadam kerana mempunyai ‘watermark’ atau logo Instagram pada video berkenaan.

Pengguna berkongsi satu tangkap layar video Samsuri yang didakwa telah dipadam dan didapati mempunyai ‘watermark’ tersebut.

Dalam erti kata lain, kemungkinan Ahmad Samsuri memuat turun video daripada Instagram sebelum memuat naik pula di TikTok.

Mana-mana video yang dimuat turun dari IG, akan terdapat ‘watermark’ pada video tersebut.

Beliau mungkin telah melanggar panduan komuniti TikTok kerana secara tidak langsung mempromosi aplikasi lain, atau kerana memuat naik kandungan yang bukan original – dengan mengambil kandungan dari IG.

Harapan Daily tidak pasti adakah kesemua video dipadam mempunyai logo dari aplikasi lain.

Pencerahan dibuat individu itu turut dipersetujui pengguna media sosial lain yang menyarankan agar pemimpin Pas itu belajar asas tentang peraturan media sosial berkenaan.

Menurut laporan media, video yang diturunkan ialah perkongsian mengenai aktiviti harian Samsuri dan perkembangan terkini di Terengganu. 

Pas mengatakan bahawa Ahmad Samsuri tidak melanggar garis panduan media sosial di samping tidak memainkan sentimen raja, agama dan kaum (3R).

BACA JUGA Pembangkang melampau, tak patut guna Qunut Nazilah terhadap seteru politik

Â