Dakwaan “menghilang” tak betul, Suhaizan setiap masa ada di Pulai

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat menyangkal dakwaan beliau “menghilangkan diri” selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai tahun lalu.

Kata Suhaizan, hampir setiap masa beliau berada di Pulai, malah setiap hari pejabat khidmat masyarakat dibuka untuk melayani aduan penduduk.

“Itu tak betul (dakwaan hilang), saya berada di Pulai ini hampir setiap masa kerana kita memang sentiasa berada di sini, menjalankan pelbagai aktiviti untuk rakyat.

“Pusat Khidmat Parlimen sentiasa fikir macam mana kita nak memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan setiap hari memang ada saja yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan,” katanya kepada media.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menuntut Suhaizan mengotakan janji membantu penduduk di Parlimen itu.

Menjawab perkara itu, Suhaizan berkata sudah banyak isu dan permasalahan penduduk Pulai yang diberikan perhatian termasuk usaha mendapatkan peruntukan bagi membantu masalah kerosakan paip air di Pangsapuri Lily Jasmine yang bernilai RM6 juta.

Beliau juga memaklumkan telah membawa kes tersebut ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Sekarang ini, masalahnya di situ kalau kita tidak bantu, kos bil air akan meningkat setiap bulan. Masa saya pergi mula-mula kos tanggungan RM1.1 juta, sekarang ini jadi RM1.4 juta.

“Jika tindakan lewat diambil, kerugian air yang ditanggung akan terus meningkat, kali terakhir bilnya bernilai RM1.4 juta,” katanya.

BACA JUGA Ramai tak tahu makna di sebalik motif gambir dan lada hitam pada tengkolok Agong