Istiadat Pertabatalan Agong pagi ini, cuaca diramal baik sepanjang hari 

Pagi ini bakal berlangsungnya Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Istiadat penuh gilang-gemilang di Istana Negara pastinya menjadi tumpuan rakyat Malaysia kerana ia diadakan setiap 5 tahun sekali.

Pertabalan ini memberi isyarat kepada dunia bahawa Sultan Ibrahim menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Tertinggi negara, memayungi 34 juta rakyat Malaysia.

Lebih signifikan, Sultan Ibrahim yang buat kali pertama bersemayam di takhta kerajaan Persekutuan itu, ialah generasi kedua Kesultanan Johor untuk menggalas tanggungjawab berkenaan selepas Almarhum Paduka Ayahanda, Sultan Iskandar Ismail dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan pada 1984 hingga 1989.

Istiadat pertabalan dijangka bermula sekitar jam 10 pagi dan keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua di Istana Negara adalah pada jam 9.50 pagi.

Usai kebarangkatan tiba, bakal berlangsungnya pemeriksaan kawalan kehormatan oleh Sultan Ibrahim sebelum perarakan masuk ke Balairung Seri.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik sepanjang hari di ibu negara hari ini.

Berdasarkan laporan ramalan cuaca yang dipaparkan di laman sesawang MetMalaysia pagi ini, tiada hujan diramalkan pada sebelah pagi, petang dan malam bagi seluruh kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sementara itu, sebanyak 14 jalan di sekitar ibu kota ditutup secara berperingkat bermula jam 8 pagi untuk acara Istiadat Pertabalan dan jam 8 malam bagi Majlis Santapan Diraja.

Jalan yang terlibat adalah Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail Lebuhraya Sultan lskandar, Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Semantan, Jalan Damansara, Jalan Istana Kuala Lumpur-Seremban Expressway, Jalan Kuching (arah Selatan), Bulatan Dato Onn dan Jalan Parlimen.

Istiadat bersejarah ini akan dihadiri kira-kira 700 tetamu termasuk raja-raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri, perwakilan diplomatik asing di negara ini serta pemimpin-pemimpin utama negara.

BACA JUGA Bertubi-tubi berita baik ekonomi Malaysia sepanjang Julai