Penduduk Kg Sungai Baru berhimpun, berang gara-gara Rafidah
Sekumpulan penduduk asal Kampung Sungai Baru hari ini berhimpun dan mengecam tindakan seorang artis wanita yang mencetuskan isu terhadap pembangunan kawasan itu.
Dalam himpunan tertutup, penduduk dilihat membawa kain rentang tertulis “kami teguh mempertahankan pembangunan semula Kampung Sungai Baru”, “berhenti fitnah” dan ucapan “terima kasih Dr Zaliha”.
Kumpulan itu difahamkan adalah kumpulan majoriti penduduk asal Kampung Sungai Baru yang bersetuju dengan pembangunan semula kawasan tersebut.
Mereka meluahkan kemarahan berikutan pelakon dan pempengaruh media sosial, Rafidah Ibrahim “menghasut” penduduk supaya kekal di rumah masing-masing dan tidak meninggalkan kawasan rumah.
Dalam satu video dikongsi pengguna X, penduduk, Sanita Yunus berkata mereka sebenarnya sudah pun mendapat sebahagian pampasan dari pihak pemaju, termasuk juga artis wanita tersebut.
Atas sebab itu, katanya , dia tidak memahami tindakan artis berkenaan yang menjadi punca pembangunan kawasan perumahan mereka akan terus dilewatkan.
“Alangkah sedihnya apabila minoriti berlebihan (sikapnya) berbanding majoriti, kita agak kesal lah. Sekarang mereka memalukan kami seolah-olah macam kami ini barua pemaju.
“Dr Zaliha memahami kami majoriti yang dah menunggu lama untuk projek itu dijalankan dan dibangunkan supaya kami dapat kembali setelah enam tahun.
“Kenapa baru sekarang mereka yang tak setuju, (sedangkan) dah pun peroleh duit, nak berbunyi. Kebanyakan mereka dah terima duit,” katanya.
Setakat Jun lalu, terdapat lima peratus pemilik pangsapuri belum berpindah, manakala 95 peratus sudah berbuat demikian dan menunggu rumah baharu daripada pemaju.
Dalam video berasingan, seorang lagi penduduk dikenali sebagai Nani, menjelaskan bahawa mereka penduduk asal Kampung Sungai Baru tidak pernah menjual tanah mereka kepada sesiapa.
Sebaliknya, mereka hanya keluar buat sementara, dan akan pulang semula ke kondominium yang telah dijanjikan pemaju.
“Kami tak keluar terus. Kami keluar sementara sehingga projek selesai. Dan kemudian duduk balik di kondo di Kampung Sungai Baru. Kami tak jual tanah kami.
“Dengan nilai yang pemaju bagi sekarang, rumah teres saya (yang akan diroboh) akan diganti dengan tiga biji kondominium yang pemaju janjikan. Ini termasuk pembayaran ubah suai dan lebihan tanah berbentuk tunai. Itu adalah duit diberi pemaju kepada kami.
“Bila pemindahan, kita diberi lori untuk berpindah, duit sewaan diberi setiap bulan kepada saya sehingga rumah siap. Alhamdulillah, bagi saya tak adalah menyusahkan,” katanya.
BACA JUGA Dakwaan “menghilang” tak betul, Suhaizan setiap masa ada di Pulai