Jemaah haji Malaysia dipuji berdisiplin, Arab Saudi anggap pengurusan TH terbaik
Kerajaan Arab Saudi telah menganugerahkan Labaittom kepada Lembaga Tabung Haji (TH) secara konsisten tiga tahun berturut-turut.
Dalam masa sama, jemaah haji Malaysia juga menerima pujian kerana berdisiplin, mempunyai ilmu pengetahuan dan budi pekerti sewaktu melaksanakan rukun Islam kelima itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, operasi haji tahun ini dilaksanakan sangat memuaskan dan kerajaan Arab Saudi menganggap pengurusan TH adalah terbaik.
Menurutnya, perkara berkenaan dizahirkan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah secara peribadi kepadanya, baru-baru ini.
“Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah secara peribadi maklum kepada saya bagaimana pengurusan TH memang pada beliau dianggap yang terbaik.
“Kita juga sedia maklum atas dasar pengurusan pentadbiran terbaik itu kerajaan Arab Saudi telah menganugerahkan Labaittom kepada TH secara konsisten tiga tahun berturut-turut,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia sebanyak 270 orang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 lewat malam tadi.
Mohd Na’im turut merakamkan tahniah kepada 31,600 jemaah haji negara pada tahun ini kerana berjaya mengharungi cabaran pelaksanaan kemuncak ibadat haji, sekali gus menyempurnakan rukun Islam.
“Tahun ini (juga) hampir semua jemaah haji maklumkan makanan dan pengangkutan baik. Sudah tentu ada (beberapa) kekurangan dan TH ambil pendekatan buat post mortem dan bincang untuk tambah baik,” tambahnya lagi.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan oleh AMAL by Malaysia Airlinesdan Saudia Airlines bagi membawa kesemua jemaah haji pulang ke tanah air bermula 24 Jun lalu sehingga penerbangan akhir semalam.
BACA JUGA Mohon maaf secara ‘DM’ selepas siar kartun palsu, Zunar bertegas mahu saman
Â