PRK Nenggiri: ‘Bukan hanya terletak di bahu BN…’

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bukan hanya terletak di bahu BN.

Malah, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu, PRK pada 17 Ogos depan juga terletak pada kerjasama semua parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, AMANAH komited memberi kerjasama penuh begitu juga parti komponen PH akan bekerja sebagai sebuah pasukan bagi memastikan kemenangan memihak kepada calon BN.

“Insya-Allah dengan semangat yang ditunjukkan pada hari ini, kita boleh menang.

“Jentera parti komponen sedang giat disusun untuk membantu.

“Saya yakin PH serta AMANAH Kelantan akan berusaha secepat mungkin bagi memberi bantuan pada PRK ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera PH PRK DUN Nenggiri di Gua Musang hari ini.

Seramai 20,259 pemilih terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis akan membuang undi pada 17 Ogos depan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menetapkan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 3 dan 13 Ogos.

Pelaksanaan PRK DUN N43 Nenggiri yang menelan biaya mencecah RM1.6 juta melibatkan pelantikan seramai 431 petugas bagi mengendalikan proses pilihan raya.

Sebanyak 20 pusat mengundi biasa mengandungi 46 saluran dan satu pusat mengundi awal akan digunakan.

BACA JUGA Heboh RTM ‘ucap takziah’ sempena Istiadat Pertabalan Agong, rupanya Facebook salah terjemah