Protes Bangladesh: Ini kenyataan terbaharu Wisma Putra

Pelajar Malaysia yang terkesan berikutan protes di Bangladesh, kini dipindahkan ke bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia demi keselamatan mereka.

Kementerian Luar (Wisma Putra) memaklumkan, pihaknya memahami kebimbangan rakyat Malaysia terhadap keselamatan ahli keluarga mereka yang berada di Bangladesh.

“Kementerian Luar Negeri ingin menegaskan bahawa keselamatan rakyat Malaysia di luar negara adalah keutamaan kami.

“Atas dasar ini, pelajar Malaysia yang terkesan dipindahkan ke bangunan Suruhanjaya Tinggi demi keselamatan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain menilai dengan teliti perkembangan terhadap situasi semasa, Kementerian Luar dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia mempertimbangkan semua opsyen yang ada termasuk evakuasi jika diperlukan.

“Kementerian ini bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi serta agensi lain yang berkaitan dalam usaha untuk membantu pelajar Malaysia di Bangladesh.

“Kementerian ini memohon semua pelajar Malaysia agar berhubung dan bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

“Rakyat Malaysia juga digesa agar berhati-hati terhadap individu yang menjanjikan bantuan untuk rakyat Malaysia di Bangladesh.

“Lakukan semakan dengan menghubungi Bilik Operasi,” katanya lagi.

Dalam kenyataan sama, Kementerian Luar menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh untuk mengelakkan kawasan protes, kekal berwaspada, dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa tempatan selaras dengan perintah berkurung yang sedang berkuat kuasa.

Kementerian Luar memantau rapat situasi ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

Sebelum ini, ribuan pelajar di Bangladesh mengadakan demonstrasi sejak 1 Julai selepas mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan awam yang telah dimansuhkan pada 2018.

Agensi Berita Jerman (DPA) melaporkan bahawa kerajaan telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara dan mengerahkan tentera selepas pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis semasa protes pelajar, menurut pengumuman tentera pada Sabtu.

BACA JUGA Jemaah haji Malaysia dipuji berdisiplin, Arab Saudi anggap pengurusan TH terbaik

Â