Kes hasutan: Perbicaraan Sanusi ditangguh
Perbicaraan kes Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor atas dua pertuduhan menghasut yang sepatutnya bermula hari ini, ditangguhkan ke September depan.
Pertuduhan terhadap pemimpin Pas kontroversi itu berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin menetapkan tarikh itu selepas pihak pembelaan Sanusi, 50, menghantar representasi terbaharu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada minggu lalu.
Peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud, berkata pihak pembelaaan percaya AGC memerlukan masa untuk mempertimbang representasi itu serta meneliti perkembangan baharu dalam kes berkenaan.
“Jika mahkamah bersetuju, saya mencadangkan penangguhan selama dua bulan, untuk pihak-pihak mendapatkan maklumat penuh dan mempertimbang representasi ini.
“Saya mohon ditetapkan tarikh untuk pengurusan kes dalam masa dua bulan,” katanya, lapor BH.
AGC pada Mei lalu mengesahkan menolak representasi dikemuka Sanusi bagi membatalkan dua tuduhan menghasut dihadapi Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri itu.
Pada 18 Julai 2023, Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan berkenaan.
Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Februari lalu, untuk dibicarakan.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu juga mengemukakan representasi kepada AGC untuk membatalkan dua pertuduhan dihadapinya tetapi representasi itu ditolak.
Mahkamah sebelum ini menetapkan 23, 29 dan 30 Julai, serta 5, 6, 9, 12, 13, dan 23 Ogos ini untuk perbicaraan.
Berdasarkan kedua-dua pertuduhan Muhammad Sanusi didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam, 11 Julai 2023.
Sanusi didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
BACA JUGA ‘Tiada pula PasDAP tapi UMDAP semua bising’, tempelak Ketua UMNO Labuan
Â