Penuntut IPTA, institusi latihan kemahiran boleh langgan Pakej Rahmah Prabayar Siswa

Penuntut lepasan menengah yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi latihan kemahiran awam (ILKA) terpilih berpeluang melanggan Pakej Rahmah Prabayar Siswa mulai 16 Ogos depan.

Tawaran pakej tersebut adalah pada harga tidak lebih RM30, dengan minimum permulaan data 30 gigabait (gb) untuk tempoh sah laku selama 180 hari.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata pakej itu melibatkan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL Communications (YES).

Menurutnya, pakej berkenaan adalah usaha Kementerian Komunikasi dengan kerjasama strategik syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbabit, sejajar hasrat kerajaan menangani peningkatan kos sara hidup, khususnya bagi membantu golongan pelajar ketika sesi pengajian dan pembelajaran.

“Tawaran pakej ini merupakan hasil peluasan Pakej Internet Mudah Alih (Prabayar) Rahmah yang diperkenalkan pada tahun lalu,” jelasnya.

Fahmi berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Etika dan Tanggungjawab Komunikasi Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM), baru-baru ini.

Beliau berkata, maklumat lanjut mengenai Pakej Rahmah Prabayar Siswa akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Sementara itu, senarai lengkap IPTA dan ILKA yang terpilih pula bakal dimaklumkan melalui laman sesawang Kementerian Komunikasi: www.komunikasi.gov.my.

Dalam sidang media kemudian, Fahmi memaklumkan, pihaknya akan berbincang dengan syarikat telekomunikasi untuk menyebarluaskan pakej itu.

“Dalam Pakej Rahmah Prabayar Siswa, kerajaan tidak membuat apa-apa bayaran tetapi syarikat telekomunikasi cukup baik hati bagi mengurangkan caj (untuk mahasiswa),” katanya lagi.

BACA JUGA Heboh RTM ‘ucap takziah’ sempena Istiadat Pertabalan Agong, rupanya Facebook salah terjemah

Â