Rusuhan di Bangladesh: Bertenang, jangan tokok tambah rumitkan keadaan

Kementerian Luar tidak bersikap ‘lepas tangan’ berhubung keselamatan pelajar Malaysia di Bangladesh.

Menteri Luar, Datuk Mohamad Hasan meminta pihak terbabit supaya bertenang dan tidak menokok-tambah sehingga merumitkan keadaan dan mencetuskan rasa panik.

“Saya berharap supaya pihak yang menokok-tambah berita mengatakan kami pihak Kementerian Luar dan kedutaan tidak berbuat apa-apa, supaya bertenang.

“Daripada hari pertama, ibu pejabat di Wisma Putra berurusan dengan kedutaan kita di Dhaka dan saya sendiri berurusan.

“Kadang-kadang dua tiga kali sehari semasa komunikasi masih baik sehinggalah komunikasi menjadi sangat rendah,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan segelintir pihak yang mengatakan kerajaan tidak mengambil peduli dan enggan membawa pulang semua rakyat Malaysia yang terkesan akibat rusuhan memuncak di Bangladesh.

Sejak 18 Julai lalu, hampir separuh daripada 64 daerah Bangladesh menyaksikan pertempuran antara penunjuk perasaan dengan pihak berkuasa dengan melibatkan perbuatan membakar, merosakkan dan melakukan ‘aktiviti pemusnahan’ di kebanyakan pejabat polis dan kerajaan.

Kemarahan rakyat Bangladesh itu menuntut supaya kerajaan menamatkan sistem kuota yang mengehadkan lebih separuh daripada jawatan perkhidmatan awam untuk kumpulan tertentu, termasuk anak-anak veteran perang pembebasan negara pada 1971 menentang Pakistan.

Polisi itu dikecam kerana dianggap memberi manfaat kepada kanak-kanak kumpulan prokerajaan yang menyokong kerajaan autokratik pimpinan Perdana Menteri, Sheikh Hasina selepas 15 tahun memegang jawatan.

Hasina, 76, memenangi pilihan raya keempat berturut-turut pada Januari lalu selepas pengundian tanpa pembangkang.

Keganasan pada 19 Julai lalu dilapor telah mengakibatkan 43 penunjuk perasaan terbunuh.

Sementara itu, wartawan Associated Press melaporkan melihat 23 mayat di Kolej Perubatan dan Hospital Dhaka.

Pada 18 Julai, 22 individu dilaporkan maut dalam perarakan berdarah pelajar di negara yang sering mengalami ribut teruk itu.

BACA JUGA PRK Nenggiri: Jentera pilihan raya tidak mahu fokus ceramah mega – Asyraf Wajdi

Â