Semua pelajar Malaysia di Bangladesh akan dibawa pulang – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pelajar Malaysia di Bangladesh akan dibawa pulang berikutan ketegangan yang memuncak di negara Asia Selatan itu.

Menurutnya, keputusan itu adalah susulan pemantauan Kementerian Luar terhadap perkembangan rusuhan di Bangladesh yang bertambah getir mutakhir ini.

“Sama ada mereka (pelajar) bantuan kerajaan atau pelajar swasta, kita akan bantu dan Menteri Luar akan mengadakan mesyuarat kalau perlu menyewa pesawat untuk bawa mereka pulang.

“Ketika ini keselamatan anak-anak Malaysia jadi keutamaan kita.

“Beberapa hari pertama itu nampak keadaan mungkin terkawal, tetapi sekarang ini dari maklumat kedutaan rasanya lebih sesuai kalau mereka dibawa pulang,” jelasnya.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 di ibu negara hari ini.

Sejak minggu lalu, penuntut universiti di Bangladesh mengadakan tunjuk perasaan menentang kuota yang tidak saksama dalam perkhidmatan awam.

Protes itu bertukar ganas apabila berlakunya pertembungan dengan pihak berkuasa yang setakat ini telah mengorbankan lebih 100 nyawa.

BACA JUGA Kerajaan MADANI kurangkan hutang negara secara berperingkat