Gangguan bekalan air di KL, Selangor pulih sepenuhnya 26 Julai ini

Gangguan bekalan air di tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor dijangka pulih 26 Julai ini.

Tujuh wilayah di Lembah Klang itu melbatkan Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur Selangor, Izham Hashim, gangguan bekalan air akibat pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah susulan kebocoran tangki sebuah kilang plastik di Kuang yang menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas dijangka pulih sepenuhnya Jumaat ini.

Jelasnya, ini berikutan keempat-empat LRA berkenaan iaitu Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (SSP1, SSP2 serta SSP3) sudah kembali beroperasi sepenuhnya bermula jam 3 petang tadi.

Katanya, LRA Rantau Panjang dan LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (SPP1, SSP2 dan SPP3) beroperasi selepas bacaan 0 ton dicatatkan tiga kali berturut-turut.

“Pengagihan air membabitkan LRA Rantau Panjang mula dilaksanakan bermula jam 6 petang tadi manakala tiga SSP berkenaan pula pada jam 8 pagi esok.

“Kawasan kediaman yang mempunyai tekanan air rendah mungkin mengambil sedikit masa namun sebahagian besar pengguna akan mendapat bekalan air dalam tempoh 24 jam.

“Seperti biasa, proses pengagihan itu akan dijalankan secara berperingkat mengikut kawasan dan dijangka selesai sepenuhnya pada Jumaat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di Bilik Gerakan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di Shah Alam, malam ini.

Dalam masa sama katanya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor akan meneruskan pemantauan di lokasi terbabit esok bagi memastikan pencemaran tidak berulang.

BACA JUGA Ramai teruja lihat koleksi kenderaan ‘zuhud’ pemimpin PN ini