Nama Zulfarhan sohor kini, wajah enam pembunuh tular kembali
Nama ‘Zulfarhan’ sohor kini di platform X susulan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017.
Dalam masa sama, gambar enam pesalah terbabit yang kesemuanya kini berusia 28 tahun tular di media sosial.
Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Rata-rata terharu serta menyatakan rasa sebak apabila keadilan terhadap Allahyarham yang teruk ditekap seterika di seluruh bahagian badan termasuk kemaluan berjaya ditegakkan.
Aksi ibu bapa arwah Zulfarhan melakukan sujud syukur sejurus hukuman gantung sampai mati diputuskan mahkamah turut meruntun emosi orang ramai.
“Anak yang hilang tiada galang ganti. Tertegak suatu keadilan moga menjadi penamat episod duka kepada ibu bapa Allahyarham. Al Fatihah,” kata pengguna X, @KHilmiM.
“Luluh hati tengok ibu bapa arwah. Walau tak dapat kembalikan anak mereka tapi ada keadilan untuk arwah. Alhamdulillah. Semoga adik-adik dipermudahkan segala urusan di sana nanti. Sekurang-kurangnya, depa tahu bila tarikh depa mati. Kita? Pengajaran untuk kita semua,” tulis @MuradDaughter03.
Hari ini menyaksikan hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama dua lagi hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara memutuskan keenam-enam tertuduh yang sebelum ini dipenjara 18 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat terhadap Zulfarhan dihukum gantung sampai mati.
Hakim Hadhariah dalam penghakimannya mendapati kesemua tertuduh secara bergilir-gilir telah menekap seterika wap pada seluruh badan Zulfarhan termasuk kemaluannya selain salah seorangnya pula bersubahat menghasut dan menyuruh lima tertuduh melakukan perbuatan berkenaan.
Ketika membaca penghakimannya selama tiga jam, hakim Hadhariah berkata, tertuduh-tertuduh bertindak menyembunyikan Zulfarhan untuk mengelakkan perbuatan jenayah mereka diketahui pihak atasan.
“Kami bersetuju dengan pendakwaan bahawa cara jenayah bunuh dilakukan “shocks not only the judicial conscience but even the collective conscience of the society.” (mengejutkan bukan sahaja hati nurani kehakiman tetapi juga hati nurani masyarakat”.)
“Kes sebegini paling jarang ditemui daripada kes-kes yang pernah berlaku (rarest of the rare) melibatkan jenayah kekejaman yang amat merbahaya kepada masyarakat. Perbuatan zalim sebegini harus dihentikan,” kata hakim itu lagi.
BACA JUGA Pas sedang diperalatkan Bersatu