Penerbangan khas bawa pulang pelajar Malaysia dari Bangladesh pagi ini

Penerbangan khas atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa pulang rakyat Malaysia susulan ketegangan di Bangladesh, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Kumpur Terminal 2, pagi ini.

Penerbangan AirAsia, menggunakan pesawat Airbus A330, dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka pada jam 9.20 (waktu tempatan) bagi membawa pulang segera rakyat Malaysia serta lebih 124 pelajar susulan ketegangan yang semakin memuncak di negara itu.

Menurut laporan Bernama, Setiausaha Bahagian Asia Selatan dan Asia Tengah Kementerian Luar, Datuk Dr Shazelina Zainul Abidin yang mengetuai misi berkenaan, berkata lebih 100 rakyat Malaysia termasuk pelajar telah ditempatkan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sejak semalam.

Sebanyak 15 petugas dari Wisma Putra, Jabatan Perdana Menteri, Majlis Keselamatan Negara dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengikuti misi itu.

Terdahulu, Anwar berkata kerajaan memutuskan untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh kerana mengutamakan keselamatan mereka.

BACA JUGA Di sebalik pejuang Palestin yang mogok lapar menentang penglibatan BlackRock

Â