Ringgit muncul mata wang terbaik di Asia berbanding dolar AS

Sejak pelaksanaan bersepadu oleh kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) awal tahun ini, ringgit muncul mata wang berprestasi terbaik di rantau Asia berbanding dolar US.

Kementerian Kewangan berkata, ringgit diniagakan pada paras 4.6642, berbanding 4.7987, yakni nilai tukaran yang terendah yang pernah dicatatkan setakat 17 Julai tahun ini.

Menurut kenyataan, Kadar Pertukaran Efektif Normal (NEER) ringgit, yang merupakan kayu ukur prestasi ringgit berbanding rakan dagangan utama, juga telah meningkat sebanyak 3.4 peratus.

MOF percaya ia susulan usaha menggalakkan aliran masuk dana lebih konsisten ke dalam pasaran kewangan domestik.

“Setakat 17 Julai 2024, ringgit diniagakan pada paras 4.6642 berbanding 4.7987, nilai tukaran terendah pernah dicatatkan pada tahun ini.

“BNM telah dan akan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memastikan kestabilan mata wang dan pasaran pertukaran asing domestik,” katanya.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Negara, kementerian itu juga berkata prestasi ringgit cemerlang ekoran penghantaran balik dan pertukaran pendapatan pelaburan asing oleh syarikat berkaitan kerajaan.

MoF berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar yang bertanya mengenai apakah usaha dilakukan kerajaan ke arah penambahbaikan nilai ringgit berbanding dolar US dan bila usaha itu akan berjaya.

Pelbagai usaha telah dijalankan dan mula menampakkan hasil positif seperti pelaburan yang diluluskan kekal menggalakkan bagi tahun 2023 sebanyak RM330 bilion; 2022: 267.8 bilion

Suku pertama 2024 pula sebanyak RM89.7 bilion berbanding Suku Pertama 2023: RM71.4 bilion.

Selepas enam tahun, JP Morgan telah menaikkan taraf Malaysia daripada ‘underweight’ kepada ‘neutral’ berikutan dasar pembaharuan struktur yang dilaksanakan termasuk pelaburan dalam membangunkan pusat hab data serantau dan teknologi hijau.

“Ini menunjukkan bahawa pelabur kekal yakin terhadap perkembangan ekonomi negara dan dengan usaha dilakukan oleh kerajaan. 

“Aliran masuk dana dan pelaburan asing ini dijangka akan berterusan dan ia akan menyokong pengukuhan nilai ringgit,” kata MOF lagi.

BACA JUGA Salah terjemah berkait pertabalan Agong, META akhirnya mohon maaf

Â