Dah kena gantung pasal surat layang pun masih lagi tunggang isu MAHB
Walaupun sudah digantung lantaran bermodalkan surat layang, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad masih tegar menunggang isu pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Menerusi kenyataan terbaharunya, Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu menggesa semua ahli Dewan Negara membantah urus niaga penswastaan MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP) milik penuh syarikat pelaburan BlackRock.
Menurutnya, urus niaga itu mendatangkan mudarat yang jauh lebih besar serta merugikan negara.
Bagaimanapun, orang ramai dilihat menempelak Ketua Armada Bersatu itu termasuk menganggap mereka juga boleh bergelar wakil rakyat jika hanya bersandarkan surat layang tanpa disusuli pembuktikan yang lebih berkredibiliti.
Rata-rata berpendapat Wan Fayhsal tidak perlu menyalahkan pihak lain atas keterlanjurannya mempercayai sumber maklumat daripada surat layang sehingga digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.
Reaksi awam bernada kecaman dan sindiran tersebut membanjiri ruangan komentar di akaun X susulan desakan Wan Fayhsal terhadap semua ahli Dewan Negara itu.
Tidak kurang juga yang menyarankan wakil rakyat berusia 37 tahun berkenaan supaya menggunakan peluang berkhidmat kepada rakyat di Parlimen Machang termasuk mengatasi masalah bekalan air bersih.
“Gantung enam bulan gara-gara satu surat layang yang bodoh. Bapa dongenglah kamu,” tempelak @sobri_sandom.
“Enam bulan ini eloklah pergi menyantuni orang Machang. Mana-mana penduduk yang tak dapat bekalan air bersih tu, tolong selesaikan. Tak perlu play victim kerana surat layang.,” saran @uzirazo3174 pula.
BACA JUGA Kisah Salahuddin, Khalid jayakan teater perjuangan masyarakat desa