Nasib tragis Esha: Apa kata Ahli Dewan Negara?

Ahli Dewan Negara, Dr RA Lingeswaran menggesa budaya buli siber dihentikan segera di semua peringkat masyarakat.

Menurutnya, gejala itu terbukti menjadi ancaman kepada ramai, sehingga ada yang kehilangan nyawa.

“Buli siber meragut ramai mangsa. Ada yang terkorban dan kehilangan nyawa.

“Berapa banyak lagi kehidupan keluarga yang perlu dimusnahkan akibat buli siber ini?

“Adakah kita akan duduk dan menontonnya atau mari kita lawan ancaman ini di setiap peringkat dan memulihkan kembali kewarasan dalam masyarakat kita!” katanya melalui Facebook beliau.

Dr RA Lingeswaran

Dr Lingeswaran turut membangkitkan isu buli siber di Dewan Negara, semalam dan mengecam tindakan itu.

Pada 5 Julai lalu, seorang pempengaruh TikTok dikenali A Rajeswary atau Esha ditemui maut di sebuah unit kondominium dekat Setapak di sini, dipercayai ada kaitan dengan tekanan dihadapinya kerana menjadi mangsa buli siber.

Mendiang sempat membuat laporan polis berhubung buli siber dan ugutan seksual dihadapinya di Balai Polis Dang Wangi pada 4 Julai lalu, dan ia dipindahkan ke pihak Polis Daerah Sentul untuk siasatan.

Polis kemudian meminta mendiang menghadirkan diri ke balai polis untuk dirakam percakapan, namun dipercayai tidak sempat berbuat demikian kerana ditemui maut, keesokannya.

Susulan itu, dua individu ditahan kerana disyaki melakukan buli siber terhadap Esha pada 8 dan 10 Julai lalu.

Pada 16 Julai lalu, seorang wanita yang dikaitkan dalam kes buli siber terhadap Esha didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat.

Majistret Arunjothy M Selvaraju menjatuhkan hukuman itu terhadap Shalini Periasamy, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

BACA JUGA Gangguan bekalan air di KL, Selangor pulih sepenuhnya 26 Julai ini

Â