Selepas jalani pembedahan di IJN, MB Pahang maklum keadaan terkini
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kini sudah mula bertugas selepas menjalani prosedur pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7 Jun lepas.
”Setelah sekian lama bercuti selepas menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7 Jun lalu, Alhamdulillah hari ini saya memulakan tugas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
”Saya juga telah menyerahkan surat penempatan dan pertukaran Ketua Jabatan di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Pahang berkuatkuasa pada 1 Ogos 2024,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, Exco Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dilapor meminta semua pihak bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai tahap kesihatan Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu.
Beliau berkata, semua pihak khususnya rakyat negeri itu tanpa mengira lapisan rakyat, berbeza pandangan dan fahaman politik hanya perlu mendoakan yang terbaik buat Wan Rosdy.
Katanya semua orang tahu Datuk Seri Wan Rosdy tidak ada masa untuk berehat kerana jadual harian yang begitu padat setiap hari dan ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada kesihatan.
Pada 10 Jun pula, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkunjung ke IJN bagi meluangkan masa melawat Wan Rosdy selepas Menteri Besar Pahang itu selesai menjalani prosedur pembedahan.
BACA JUGA Dakwaan diploma TVET ditolak JPA: Ini penjelasan Zahid Hamidi
Â