Kerajaan kurangkan hutang negara, bukan cakap kosong, kata PM

Kerajaan telah mengurangkan hutang negara daripada RM100 billion pada setiap tahun 2021 dan 2022 kepada hanya RM93 billion sahaja pada tahun 2023, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada tahun 2024 ini, katanya, kerajaan dijangka akan berhutang sebanyak RM86 billion sahaja.

Anwar menjawab dakwaan kononnya kerajaan Malaysia Madani pimpinan beliau tidak serius dalam mengurangkan hutang negara.

Herok pikuk minggu lalu mengenai kedudukan hutang negara seolah-olah PM Anwar tidak memberikan maklumat yang benar tentang kedudukan hutang negara.

“Saya sudah jelaskan bahawa ada hutang yang kita warisi yang mencecah RM1 hingga RM1.5 trillion.

“Memang komitmen kita untuk mengurangkan hutang dan ini kita lakukan,” kata Anwar dalam satu video yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Anwar, pada tahun 2021 dan tahun 2022, kerajaan telah berhutang dari dalam dan luar negara sebanyak RM100 billion pada setiap tahun tersebut.

Menurutnya, beliau telah memberitahu pegawai kerajaan bahawa negara tidak boleh terus menerus berhutang dengan banyak sehingga berlonggok.

“Maknanya kita kurangkan hutang kepada RM93 billion (pada tahun 2023) berbanding RM100 billion pada tahun sebelumnya.

“Pada tahun 2024, (kita jangka) RM86 billion, kuranglah maknanya berbanding RM100 billion pada tahun-tahun sebelumnya,” kata beliau.

Beliau menjelaskan, kerajaan tidak boleh terus membatalkan semua hutang kerana negara perlu membantu rakyat untuk pembinaan sekolah baru, universiti dan membuat pembangunan yang lain selain tanggungan membayar hutang-hutang lama, kata Anwar.

Menurut Anwar, kerajaan bertekad untuk mengurangkan hutang kepada 60 peratus berbanding 64 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Target kita adalah, secara berperingkat kita menurun kepada sekurang-kurangnya 60 peratus dari jumlah KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar),” kata beliau lagi.

BACA JUGA PN tidak ikhlas tunggang isu sumbangan ‘syarikat dosa’