Netizen terkejut individu kirim surat layang kes Zulfarhan munculkan diri di IG
Salah seorang saksi yang bertanggungjawab mengirim surat layang berhubung kes pembunuhan Zulfarhan Osman Zulkarnain disebut-sebut pengguna media sosial sejak semalam.
Identitinya yang tidak diketahui sebelum ini akhirnya berjaya ditemui warga maya dan sekaligus membuatkan individu itu tampil muncul di media sosial.
Dalam satu perkongsian di Instagram, Muhammad Aiman Aufa yang merupakan saksi pendakwaan kes Zulfarhan memuat naik satu ucapan ringkas berkenaan surat layang tular di media sosial.
“Setelah hampir lapan tahun, ni ‘first time’ (kali pertama) saya tengok semula surat ini.
“Lepas saya letak dulu, tak pernah tengok dah sampai sekarang,” demikian kata Muhammad Aiman.
Dia juga tidak tahu bagaimana surat tersebut boleh tersebar sehingga menjadi bualan orang ramai.
“Tak tahu lah macam mana boleh sampai ke ‘public’ (umum). Apa-apa pun al-Fatihah buat keluarga arwah.
“Kita manusia hanya mampu berikhtiar dan berusaha, Allah penentu segalanya. Al-Fatihah,” katanya pada hantaran itu hari ini.
Terdahulu tular surat layang dipercayai dihantar oleh Muhammad Aiman kepada warden asrama yang memohon agar bilik Allahyarham diterjah dan diselamatkan segera.
“Kalau ada hati perasaan, ada sifat perikemanusiaan, saya minta sangat-sangat pergi ambush bilik 4-10 Blok Satria (depan masjid). Dalam tu ada pesakit yang sangat-sangat perlukan rawatan segera. Segera”.
Pada 28 Jun 2018, Muhammad Aiman yang ketika itu berusia 22 tahun mendedahkan kepada mahkamah bahawa, dia menulis dua pucuk surat layang untuk memberitahu pihak atasan UPNM yang Zulfarhan Osman didera oleh rakan-rakannya.
Ia selepas dia melihat mangsa terbaring dengan seluruh badannya menggelembung dipenuhi tompohkkehitaman dan darah di bilik 4-19 asrama penginapan UPNM pada 22 Mei 2017.
Surat layang pertama diselitkan di pagar Rumah Sakit Angkatan Tentera (Resat) pada 23 Mei 2017 dan surat layang kedua diletakkan di Bawah pintu bilik seorang jurulatih pada keesokan harinya.
BACA JUGA Abang Mat tak reti duduk diam, ada sahaja kerjanya bangunkan pertanian