Situasi tegang di Kenya, ini makluman terbaharu Wisma Putra

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi sedang berhubung dengan semua rakyat Malaysia di Kenya yang mendaftar, berikutan situasi ketegangan berlaku di negara berkenaan yang kini memasuki minggu keenam.

Kementerian Luar (Wisma Putra) memaklumkan, pihaknya turut menggesa mereka untuk terus berkomunikasi bagi menerima maklumat terkini dan sokongan sekiranya perlu.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan dan memastikan keselamatan mereka.

“Rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas dinasihatkan untuk terus berwaspada dan mengikuti arahan serta panduan terkini yang diberikan pihak berkuasa tempatan,” maklum Wisma Putra menerusi kenyataan hari ini.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi di Nairobi melalui talian +254 (01) 11052710 +254 741 603952 atau mwnairobi@kln.gov.my.

Sebelum ini, suasana di ibu negara Nairobi bertukar kacau-bilau apabila orang ramai merempuh sekatan polis sebelum menyerbu masuk Parlimen dan membakar sebahagian daripada bangunan itu dalam protes anti kerajaan berhubung cadangan kenaikan cukai.

Ia termasuk cukai ke atas barangan seperti roti, minyak masak dan barangan kebersihan.

Cadangan itu telah menimbulkan kemarahan rakyat Kenya dengan ribuan penunjuk perasaan telah menyerbu bangunan parlimen Kenya sebagai bantahan.

BACA JUGA Abang Mat tak reti duduk diam, ada sahaja kerjanya bangunkan pertanian