Tiada bincang dengan Pas, kalau dengan Hisham atau Khairy, itu tidak wakili Umno
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadli Shaari hanya sembang kedai kopi sahaja apabila berkata, Pas ada berbincang dengan Umno untuk bekerjasama, kata Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman Nor Adam.
Namun Lokman tidak menafikan, kalau ada mana-mana pemimpin Pas berjumpa dengan bekas Naib Presiden Umno, Datuk Hishamuddin Tun Hussein atau bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaludin.
“Ni seorang dah kena pecat dan seorang lagi sudah kena gantung. Oleh itu ia tidak mewakili Umno kalau-kalau ada perbincangan pun,” kata beliau menafikan Umno ada membuat perbincangan dengan Pas.
Bagi beliau, ia hanya cakap-cakap kosong sahaja untuk menyedapkan hati pihak tertentu, kata beliau dalam satu kenyataan melalui video beliau.
“Selaku orang parti, saya hanya akan percaya dengan apa yang dinyatakan oleh Presiden Umno sendiri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya hanya walak dengan apa yang dikatakan presiden dan dia yang berhak menentukan halatuju parti,” kata Lokman.
Media melaporkan, Ahmad Fadhli Shaari berkata pertemuan itu dibuat secara tidak formal namun tidak mendedahkan pemimpin Umno tersebut, lapor Utusan Malaysia.
Menurutnya, pemimpin utama Umno tersebut meluahkan ‘rasa serba salah’ bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan yang didakwa merugikan Umno.
“Ia perbincangan itu ada dan ia bukan satu gerakan, tetapi lebih kepada harapan. Ia membabitkan pemimpin utama. Dan dalam pertemuan itu, mereka mengharapkan agar kerjasama bersama dengan Pas dapat bersatu kembali, cuma mereka tidak berani ingin melawan apa yang diputuskan Presiden Umno,” katanya.
Bagi Lokman, presiden Umno telah menegaskan pada 8 Julai lalu, parti itu tidak akan bekerjasama semula dengan Pas selagi dipimpin oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Adakah Pas bertukar presiden, takda. Maka tak adalah perbincangan.
“Terkini sekali lagi Datuk Seri Ahmad Zahid sekali lagi menegaskan tiada pertemuan ataupun perbincangan antara Umno dengan Pas bagi membentuk kerjasama dalam pilihan raya,” katanya.
BACA JUGA Kerajaan kurangkan hutang negara, bukan cakap kosong, kata PM
Â