Hukum baca doa Qunut Nazilah kepada sesama Islam disebut dalam khutbah Jumaat

Masjid-masjid Wilayah Persekutuan hari ini dalam khutbah Jumaatnya menyebut tentang hukum membaca doa Qunut Nazilah sesama umat Islam.

Di Facebook, salah seorang jemaah memberitahu Masjid Al-Mizan, Presint 8 di Putrajaya hari ini menyebut bahawa dosa jika membaca Qunut Nazilah yang ditujukan kepada sesama umat Islam.

“Puas hati khutbah Jumaat dekat Masjid Al-Mizan presint 8 hari ni. Berdosa Qunut nazilah sesama Islam hanya (kerana) berbeza pandangan,” kata Paksu Rodzi.

Sementara itu Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa turut memaklumkan perkara sama bahawa isu itu telah disebut dalam khutbah Jumaat di masjid sekitar WP.

“Hukum doa Qunut Nazilah tak boleh dibaca untuk sesama muslim disebut dalam khutbah di masjid-masjid Wilayah Persekutuan hari ini. 

“Alim yang tawadhu’ akan mohon maaf dan bukan bagi alasan pada yang batil!,” ciapnya di laman X hari ini.

Menurut Mujahid, alasan doa kononnya dibuat untuk “Palestine” tidak relevan kerana semua berlaku sejurus Ahli Parlimen Machang digantung enam bulan dari sidang Dewan Rakyat.

Dalam video berasingan dimuat naik Mujahid semalam, beliau berkata sikap pemimpin Pas jelas mempunyai ciri-ciri golongan Khawarij yang menganggap orang lain selain mereka adalah bukan Islam.

“Pemikiran ulama Pas adalah pemikiran yang menganggap siapa sahaja yang tidak sealiran dengan dia, adalah musuh Islam yang layak untuk mendapat doa Qunut Nazilah.

“Ini ciri-ciri orang Khawarij yang menganggap selain daripada mereka bukan orang-orang Islam. 

“Jadi ia sudah jelas. Apa lagi yang kita nak hujahkan kepada seorang Ahli Parlimen, ulama, berserban… Tetapi inilah realiti dan hakikatnya.

“Mereka yang mengaminkannya juga sama seperti orang yang berdoa. Dia tidak tahu kepada siapa dia doakan,” katanya lagi.

Minggu lalu Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP) melarang Umat Islam membaca Qunut Nazilah kepada sesama Muslim ketika terdapat pertembungan tidak mengira apa jua sebabnya termasuk perselisihan politik.

BACA JUGA PM masih belum puas hati walau ekonomi makin baik

Â