Lagi kes di UPNM, netizen tular semula kes Amirul Nashriq yang belum terbela
Selepas kes kematian Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain mendapat pembelaan tempoh hari, timbul lagi isu yang dikatakan melibatkan penderaan pelajar.
Menurut satu akaun TikTok, individu berkenaan adalah Amirul Nashriq Othman, yang merupakan bekas penuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Sejak beberapa hari lalu juga, tular kembali tangkap layar berkenaan kronologi kes membabitkan Allahyarham Amirul.
Kronologi itu dipercayai ditulis oleh kakak Allahyarham yang menggunakan akaun Facebook Norzulaikha Othman pada 2018.
Berdasarkan tangkap layar itu, akaun FB berkenaan mendedahkan tentang kronologi kejadian yang berlaku kepada Amirul, yang didakwa masih belum mendapat pembelaan sewajarnya.
Sementara menurut laporan Berita Harian pada 29 Mei 2018, bapa Amirul, Othman Yusoff menuntut keadilan untuk anaknya yang didakwa mempunyai unsur penderaan sebelum mangsa meninggal dunia.
Beliau mendakwa, anaknya didera sebelum meninggal dunia berikutan terdapat kecederaan di badan anaknya.
Othman turut membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis dan laporan bedah siasat anaknya.
Kata Othman, beliau sekeluarga tidak berpuas hati kerana autopsi dilakukan tanpa kebenarannya sebagai waris dan hanya menandatangani surat kebenaran sejurus sampai di Hospital Bentong, Pahang.
“Laporan itu amat mencurigakan kerana kesan lebam yang terdapat pada dada anak saya dikatakan berpunca daripada terkena batu semasa lemas.
“Sedangkan dua hari sebelum itu arwah sempat menghantar gambar kepada kami menunjukkan kesan lebam akibat dipukul oleh tiga pelajar senior.
“Anak saya sebelum ini menunjukkan gambar lebam di dada, dia kata kena pukul di bahagian ulu hati hingga senak bersama seorang lagi rakannya.
“Kami suruh beliau balik ke kampung, namun apa yang peliknya dua hari kemudian, arwah bersama rakan lain ke kawasan air terjun dan meninggal dunia akibat lemas,” katanya.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis, pula dilaporkan berkata, siasatan mendapati mangsa lemas ketika mandi bersama rakan-rakannya di air terjun itu.
Ketika mandi, mangsa dikatakan tiba-tiba tenggelam dan gagal dikesan sebelum timbul 15 minit kemudian dengan rakan-rakan mangsa cuba menyelamatkannya tetapi tidak berjaya.
BACA JUGA AMANAH kecam sekeras-kerasnya Amerika jemput PM Israel berucap di kongres