Pemuda Mat Salleh pertikai penilaian Forbes tentang Kuala Lumpur

Seorang pemuda ‘Mat Salleh’ tampil menepis laporan Forbes Advisor yang menyenaraikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya kelima paling berbahaya di Asia Tenggara untuk dilawati.

Katanya, Kuala Lumpur adalah ibu negara yang mempunyai golongan masyarakat paling mesra di dunia dan sememangnya cukup selamat untuk dilawati.

Beliau menyoal siapakah yang membuat laporan sedemikian sambil menyifatkan orang tersebut tak pernah pergi ke Kuala Lumpur.

”Secara jujur, saya beritahu anda terdapat bandar-bandar di Asia Tenggara yang tidak disenaraikan yang mempunyai pusat pemeriksaan polis kerana bom meledak dengan kerap.

”Saya pernah pergi ke tempat itu iaitu di Yala, selatan Thailand.

”Kepada Forbes, saya rasa anda perlu fikirkan semula tentang laporan anda itu,” katanya di TikTok The Veggies On Tour.

Laporan Forbes Advisor pada 19 Julai lalu itu turut mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin menyifatkan laporan berkenaan bertentangan dengan laporan Indeks Keamanan Global 2024 Jun lalu yang meletakkan Malaysia di tangga ke-10 sebagai negara paling aman di dunia.

Tegas Saifuddin lagi, apa pun analisis yang dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi komitmen ke arah memastikan keamanan dan ketenteraman awam.

”Saya tidak kata nafi (laporan Forbes Advisor) tetapi belum baca kayu ukur,” katanya.

BACA JUGA Hutang negara bertambah sebab ‘gaji ayah RM5k, perbelanjaan keluarga RM5.5k’