Bukan tanda isyarat sokong terima sumbangan dari syarikat arak
Kehadiran Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah dalam majlis makan malam anjuran Lembaga Pengelola SJKC Tche Min di Sungai Pelek adalah untuk memenuhi undangan majlis kutipan dana sekolah tersebut.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, terdapat pihak yang cuba menangguk di air keruh atas kehadiran Aiman Athirah dengan memberikan konteks yang sangat berbeza.
Beliau berpendapat Tindakan pihak terbabit semata-mata untuk mencetuskan polemik dan cuba mempolitikkan keberadaan Aiman Athirah di majlis tersebut.
Tegasnya, hakikat sebenar disembunyikan secara sengaja dan mereka cuba mengeploitasikan sekeping gambar untuk membesar-besarkan isu yang sebenarnya tiada kaitan dengan apa yang dicetuskan.
“Konteks sebenar kehadiran YBTM adalah untuk menyampaikan sumbangan beliau sebagai Ahli Parlimen bagi tujuan kutipan dana guna untuk membina dewan sekolah SJKC tersebut.
“Adapun gambar beliau di atas pentas yang dilihat membuat isyarat “thumbs-up” adalah kerana majlis makan malam itu berjaya mengumpul dana RM 3.1 juta iaitu lebih daripada sasaran RM 3 juta yang dijangkakan.
“Ia tidak ada kena mengena sebagai tanda isyarat menyokong menerima sumbangan dari syarikat arak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sejak minggu lalu, kehadiran Athirah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di sekolah terbabit bagi tujuan mengumpul dana persekolahan yang turut membabitkan penajaan daripada syarikat arak mengundang kontroversi.
Pertikaian itu tercetus apabila konsert amal pendidikan bertujuan membuat kutipan membina dewan sekolah itu yang didirikan sejak 30 tahun lalu, didapati turut membabitkan sumbangan dan tajaan sebuah syarikat arak.
Susulan reaksi tersebut, Aiman Atirah meminta maaf sekiranya ada pihak yang sensitif dengan gambar beliau memegang replika cek berlogo syarikat arak dalam majlis sumbangan di sekolah Cina itu.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata, Menteri Pendidikan telah menjelaskan bahawa menurut arahan pekeliling kementerian, sumbangan melibatkan syarikat arak, judi atau rokok untuk apa-apa sumbangan sekolah tidak dizinkan.
Namun, katanya, dalam konteks kehadiran Aiman Athirah, program tersebut adalah majlis amal untuk kutipan dana yang dianjurkan oleh Lembaga Pengelola sekolah dan sumbangan diterima daripada pelbagai pihak termasuk komuniti setempat serta ibubapa dan pemimpin masyarakat.
“Ia bukan anjuran mana-mana syarikat arak dan bukan juga sumbangan dari mana-mana syarikat arak secara khusus.
“Replika cek menandakan kutipan derma yang berjaya dikumpulkan iaitu bernilai RM 3.1 juta dan bukan menandakan ianya majlis khas sumbangan dari syarikat arak untuk tujuan kutipan dana sekolah,” katanya.
Beliau menambah AMANAH sangat tegas mempertahankan prinsip syariah dan panduannya dalam menjalankan fungsinya sebagai sebuah parti politik yang progresif dan inklusif serta mengambil faktor kearifan lokal Malaysia sebagai pertimbangan yang diperakui oleh kehendak kaedah syara’.
“Kami berasa kesal dengan niat jahat pihak tertentu yang mengambil peristiwa ini untuk memburukkan imej Parti AMANAH bagi tujuan politik yang sempit,” kata Mujahid lagi.
BACA JUGA Wanita AMANAH seru henti peralat isu tajaan sekolah, elak politik sempit
Â